Penafian

PENAFIAN DAN AMARAN:Terima kasih sudi bertamu.Bahan bacaan dan ilustrasi di dalam blog ini sebahagiannya tidak sesuai dilayari oleh golongan bawah umur. Paparan yang dimuatkan dipetik dan disunting daripada pelbagai sumber termasuklah daripada media arus perdana dan sumber media lain.Bukan tujuan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sekadar mengetengahkan kepincangan yang melanda masyarakat untuk dijadikan sempadan dan iktibar.Kemaafan dipinta sekiranya artikal yang dipaparkan tidak dinyatakan sumber atau pemilik asal dan admin tidak bertanggungjawab sekiranya kandungan blog ini mendatangkan kerosakan,kerugian dan kemudaratan kepada sesiapa yang berkunjung dan melayari blog ini.Harap maklum.

Wednesday 9 July 2014

Pelajar IPT menangis teresak-esak tergadai maruah

Kuala Terengganu, 9 July 2014 – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi menangis teresak-esak apabila dijatuhi hukuman denda RM4,900 atau sembilan bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, atas dua pertuduhan berkhalwat, tahun lalu.
Siti Noor Syaidatul Husna Mohd Yusof, 21, yang sebelum ini pernah ditangkap berkhalwat bersama teman lelaki di sebuah hotel pada April tahun lalu sekali lagi mengulangi kesalahan sama bersama seorang lelaki di sebuah rumah tiga bulan kemudian.

Bagaimanapun, kesalahan kedua pada Julai lalu, tertuduh ditahan bersama dua lagi rakan wanitanya juga berusia 21 tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa berada di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, bersama Syed Mustaffa Syed Zainal A’biden, 24, yang tiada hubungan suami isteri atau mahram, jam 1.10 pagi pada 5 April 2013.

Bagi kesalahan itu, Siti Noor Syaidatul Husna yang didakwa mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat dikenakan hukuman denda RM2,200 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail.

Bagaimanapun, kes pasangannya, Syed Mustaffa masih dalam proses perbicaraan.

Mengikut fakta kes, serbuan dilakukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah Kuala Terengganu ke bilik berkenaan dan sebaik pintu diketuk, ia dibuka seorang lelaki.

Pemeriksaan lanjut ke dalam bilik itu mendapati terdapat seorang perempuan yang tiada hubungan suami isteri atau mahram turut berada di dalamnya.

Bagi pertuduhan kedua, Siti Noor Syaidatul Husna sekali lagi ditangkap berkhalwat bersama dua rakan wanitanya dan seorang lelaki yang tiada hubungan suami isteri atau mahram di sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, di sini, jam 4.45 pagi pada 27 Julai 2013.

Mengikut fakta kes, serbuan dilakukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah Kuala Terengganu selepas menerima maklumat awam.

Sebaik tiba di rumah itu, pintu rumah dibuka Siti Nadhirah Kamrul Anuar, 21, selepas diketuk selama tiga minit sebelum pemeriksaan menemui ada dua lagi wanita iaitu Siti Noor Syaidatul Husna dan Nur Aini Fazni Mohd Lazim, 21, masing-masing di bilik berasingan.

Pemeriksaan turut menemui seorang lelaki, Muhammad Arif Mohd Nor, 22, yang juga teman lelaki Siti Noor Syaidatul Husna di dalam sebuah bilik lain.

Bagi kesalahan itu, Kamalruazmi mengenakan hukuman denda RM2,700 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda terhadap Siti Noor Syaidatul Husna manakala teman lelakinya dikenakan denda RM2,600 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda. Rakannya, Nur Aini Fazni pula dikenakan denda RM2,400 atau empat bulan penjara jika gagal menjelaskan denda manakala Siti Nadhirah pula dikeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah.- Metro.

FIRMAN Allah SWT dalam surah Yasin ayat ke-65: “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang dulu mereka usahakan.” 

Menurut pandangan Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebut: Ini adalah keadaan kafir dan munafik pada Hari Kiamat ketika mereka mengingkari kesalahan yang sudah mereka lakukan dan mereka bersumpah mengenai apa yang sudah mereka kerjakan di dunia. Lalu Allah SWT menutup mulut mereka dan menjadikan anggota badan mereka berbicara mengenai perbuatan mereka.

Ibnu Hatim meriwayatkan daripada Anas bin Malik, beliau berkata: “Pernah sekali kami bersama Nabi SAW, Baginda tertawa hingga gigi gerahamnya jelas terlihat, kemudian Baginda bersabda: “Tahukah kamu semua mengapa aku tertawa? Aku tertawa kerana ada perdebatan di antara seorang hamba dengan Tuhannya. Hamba ini berkata: Wahai Tuhanku! Bukankah Engkau sudah memberikan rasa aman bahawa Engkau tidak akan menzalimi aku? Allah menjawab, “Benar.” Hamba itu berkata lagi, “Aku tidak akan menerima kesaksian (pengakuan) atas diriku, kecuali dari diriku sendiri.”

Allah berfirman: “Cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai hisab amal perbuatanmu. Cukuplah Malaikat Kiraam al-Kaatibiin (Malaikat yang mulia, pencatat amal-amal manusia) yang menjadi saksi atas dirimu.” Maka dikuncilah mulutnya dan dikatakan kepada anggota tubuhnya, “Berbicaralah kamu!” Maka satu persatu anggota tubuhnya berbicara mengenai amal perbuatannya (yang memberatkan dirinya). Kemudian Allah SWT tidak mengacuhkan perkataan anggota-anggota tubuhnya. Allah berfirman, “Jauh sekali amal kamu ini (anggota yang sedang berbicara) dari keredaan-Ku. Tadinya Aku ingin membela (dosa-dosa) kamu.” (Hadis ini diriwayatkan juga oleh Muslim dan an-Nasa’i).

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari, beliau berkata, “Seseorang Mukmin dipanggil untuk dihisab pada Hari Kiamat, lalu Allah membentangkan amal perbuatan yang berkaitan dengan dirinya dan Tuhannya. Ia mengakui perbuatannya seraya berkata. Benar wahai Tuhan, aku melakukannya, aku melakukannya, aku melakukannya.” Maka Tuhan-Nya mengampuni dosa-dosanya dan menutup dirinya daripada dosa-dosa itu, sehingga tidak ada satu makhluk pun di muka bumi yang melihat dosa-dosa itu, serta tampaklah segala kebaikannya, dan Dia menghendaki agar semua manusia melihat kebaikan itu.”

Abu Musa al-Asy’ari ra melanjutkan, “Lalu orang kafir dan munafik dipanggil untuk dihisab. Tuhan membentangkan amal perbuatannya, lalu ia mengingkarinya seraya berkata, “Wahai Tuhan, demi kemuliaan-Mu, Malaikat ini sudah mencatat mengenai diriku sesuatu yang tidak aku lakukan.”

Malaikat pun berkata kepadanya, “Bukankah kamu melakukan perbuatan ini pada waktu ini di tempat ini?” Tidak, demi kemuliaan-Mu wahai Tuhan, aku tidak melakukannya.” Tatkala ia berbuat demikian, Allah SWT menutup mulutnya. Abu Musa melanjutkan, “Aku menduga bahawa yang pertama kali berbicara adalah peha sebelah kanan.” Kemudian ia membaca firman Allah SWT: “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka… hingga akhir ayat.” Begitulah mahkamah Allah SWT.

Justeru, apabila kita terlanjur mengerjakan sesuatu dosa, segeralah kita beristighfar memohon keampunan dan cuba hindari diri daripada mengerjakan dosa-dosa yang selanjutnya.

Mudah-mudahan Allah SWT menerima taubat dan menutup kesalahan kita seperti firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat ke-135 yang bermaksud: “Dan orang yang apabila terperosok mengerjakan kejahatan, atau menzalimi diri sendiri, nescaya mereka segera mengingati Allah SWT lalu memohon ampun kepada-Nya dari segala dosa-dosa mereka.” Wallahua’lam. 

No comments:

Post a Comment

Paparan Terkini dan Terdahulu

Kandungan Blog